Pengarah Termuda Malaysia, Syafiq Yusof, 19, mengakui dia sebenarnya bimbang dengan sambutan peminat terhadap filem pertamanya S.A.M (Aku Amat Mencintaimu). Jelas anak kepada Datuk Yusof Haslam ini, kebimbangannya itu bukan kerana tidak yakin dengan hasil garapannya, tetapi kerana genre yang ditampilkan agak asing dengan peminat filem tempatan.
“Saya bimbang genre psiko thriller ini tidak boleh diterima oleh peminat filem Melayu. Saya tahu genre ini agak asing untuk peminat filem kita. Namun, saya anggap ini cabaran dan risiko yang harus yang hadapi. Diharapkan dengan kehadiran pelakon-pelakon popular dan hebat boleh menarik kehadiran penonton ke pawagam apabila mula ditayangkan pada 19 Ogos ini,” ujar Shafiq yang ditemui baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, pengarah muda ini turut mengakui latar belakang keluarganya turut menambah tekanan terhadap dirinya.
“Memandangkan saya daripada keluarga filem dan orang sudah tahu kredibiliti ayah dan abang saya sebagai seorang pengarah filem, saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan reputasi itu terus berkekalan. Saya mahu menjaga nama keluarga. Lagipun saya tahu ramai pihak yang meletakkan penanda aras yang tinggi terhadap saya. Mereka mahu lihat saya berikan yang terbaik. Jadi, S.A.M memang membuatkan saya tidak senang duduk dan berdebar-debar. Bagaimanapun, saya sudah cuba berikan yang terbaik,” ujar Shafiq lagi.
Sementara itu, Shafiq juga melahirkan rasa syukur kerana sepanjang tempoh pengambaran dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan barisan pelakon terlibat.
“Walaupun saya lebih muda daripada mereka, mereka tidak ada masalah mendengar arahan saya. Mereka berikan kerjasama yang sangat baik. Malah, mereka bagi lebih daripada yang saya mahukan. Sepanjang tempoh 36 hari penggambaran, saya tidak menghadapi banyak masalah, hanya berdepan dengan masalah cuaca yang agak tidak menentu,” ujar Shafiq.
S.A.M dibintangi oleh Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Syamsul Yusof, Azad Jazmin, Neelofa dan Fimie Don. Filem ini mengisahkan tentang Sam ( Shaheizy Sam ), seorang lelaki yang bekerja di sebuah syarikat percetakan. Sam bercinta dengan seorang gadis bernama Lisa ( Lisa Surihani ) yang juga rakan sekerjanya.
Konflik bermula apabila Lisa sering diganggu oleh Haikal ( Azad Jazmin ) yang menimbulkan pergaduhan di antara Sam dan Haikal. Dalam masa yang sama, seorang lelaki kacak Jefri ( Syamsul Yusof ) juga menaruh hati pada Lisa.
Satu pergaduhan berlaku antara Sam dan Haikal yang mengakibatkan Haikal dipecat oleh majikannya. Haikal bengang lalu berjanji akan membalas dendam terhadap Sam. Selepas kejadian itu, Sam diganggu oleh kelibat lelaki misteri yang selalu mengganggu dirinya. Sehingga ke satu tahap, Sam dan Lisa diculik oleh lelaki misteri tersebut.
KB Shouts : Wajib tonton nih!
Sumber : Gua


