Bekas ahli kumpulan The Fabulous Cat, Wangi Julianda Indrameida atau Wangi akui hatinya kini sudah dimiliki oleh seorang doktor yang berasal dari Indonesia.
Menjalinkan hubungan sejak setahun yang lalu, Wangi berkata dia bahagia menjalinkan hubungan dengan kekasihnya yang berusia 26 tahun itu walaupun terpaksa berjauhan.
“Sebenarnya saya mula mengenalinya daripada seorang kawan yang kebetulan sama kuliah di Universiti Padjajaran, Bandung, tahun lalu.
“Ketika itu, saya masih menjalani pengajian di sana dan sejak berkenalan kami mula rasa serasi sehingga mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius.
“Saya bahagia bersamanya, walaupun dia bekerja dari bidang berbeza, namun dia seorang yang sangat memahami dan menyokong pada karjaya seni saya.
“Malah kami tiada masalah apabila berjauhan kerana masing-masing memberikan kepercayaan yang tinggi pada hubungan,”katanya kepada murai.com.my ketika menjalani penggambaran video muzik single solo pertamanya berjudul Lara di Finas, petang semalam.
Merancang untuk berkahwin pada usianya mencecah 25 tahun, Wangi berkata dia gembira kerana hubungan mereka direstui oleh kedua belah pihak.
“Kami sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing dan nampaknya hubungan kami disenangi oleh kedua belah pihak.
“Cuma terus-terang saya belum terfikir untuk berkahwin kerana masih menumpukan kepada karjaya nyanyian dan juga lakonan,”kata pelajar jurusan Perniagaan dan Pengurusan.
Bergerak solo sejak Februari tahun lalu, Wangi bakal mempertaruhkan genre pop dance sebagai pengenalan.
Mempercayai lagu ciptaan sepenuhnya oleh Said Nitrus, pelakon Cuti-Cuti Cinta ini berharap single Lara akan diterima oleh ramai pendengar dan peminat muzik.
“Konsep dan genre yang cuba saya bawak adalah seperti muzik Korea Pop atau K Pop.
“Rasanya tak salah untuk saya cuba genre ini memandangkan ianya sudah menjadi trend.
“Jika single pertama saya boleh diterima, saya akan keluar dengan single seterusnya yang mana menampilkan saya dengan penyanyi duet.
“Untuk lagu duet nanti, saya teringin untuk berkolaborasi dengan penyanyi seperti Asfan, Stacy dan Mimi One Nation Emcees,”luahnya.
Lara juga merupakan lagu untuk album runut bunyi bagi filem Mantera yang bakal berada di pawagam pada awal Mei ini.
KB Shouts: Wanginyer Wangi..!
Sumber: Murai
